Tempat Bersejarah : Gereja St. Alphonsus' Julau
Gereja St. Alphonsus' Julau merupakan gereja yang tertua di Julau. Ianya dibina pada tahun 1938 oleh Mubaligh Kristian (Roman Catholic) yang tiba di Julau sekitar tahun 1930-an dimana mereka juga telah menubuhkan sekolah yang pertama di Daerah Julau ketika itu yang kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan St. Alphonsus, Julau. Gereja ini terletak 1 km dari PEDi Pekan Julau.
STADIUM KOMPLEKS SUKAN JULAU
Stadium Kompleks Sukan Julau merupakan stadium pertama dibina di kawasan Daerah Julau. Stadium ini terletak kira-kira 100 meter dari simpang Julau dan mula beroperasi pada pertengahan tahun 2017. Wujudnya stadium ini telah mendapat sambutan dari masyarakat komuniti di sekitar Julau.
Stadium ini menyediakan kemudahan seperti dewan untuk acara sukan badminton, trek untuk larian dan juga padang untuk acara bola sepak dan tidak ketinggalan juga tempat letak kereta. Dengan adanya kemudahan tersebut, ianya amat memudahkan serta menggalakkan aktiviti seperti acara sukan tahunan sekolah rendah dan menengah, pertandingan sukan olahraga peringkat daerah, latihan sukan untuk para atlet sekolah ketika waktu petang, serta aktiviti sukan yang lain yang dilancarkan oleh beberapa jabatan di Daerah Julau.
Selain itu, stadium ini telah menarik minat masyarakat komuniti di Julau sini untuk menjalankan aktiviti riadah seperti bersenam dan berjoging bersama ahli keluarga dan rakan-rakan terutamanya pada waktu petang. Di samping itu, stadium ini juga telah menarik minat masyarakat luar datang untuk beriadah kerana berasa selesa dan selamat dengan kemudahan yang disediakan di stadium ini.
Daerah Julau mempunyai keindahan alam semula jadi:
Terdapat kawasan Perlancongan dan rekreasi yang menarik di daerah Julau.
Tapak Bersejarah Kubu Brooke
Tapak bersejarah Kubu Brooke yang dibina di Nanga Meluan juga merupakan satu lagi tarikan pelancongan di daerah ini. Dahulunya, Kubu Brooke telah menempatkan pegawai-pegawai pentadbiran Brooke untuk menjaga ketenteraman dan keamanan kawasan tersebut terutamanya menentang pergerakan anti-Brooke yang radikal, diketuai oleh seorang pahlawan bernama Asun. Kubu ini pernah digunakan sebagai Pejabat Daerah Kecil dan Balai Polis.
Lanjak Entimau Wildlife Sanctuary
Lanjak Entimau Wildlife Santuary juga merupakan pilihan tepat kepada mereka yang sukakan habitat liar dan keindahan flora dan fauna. Terdapat tiga buah daerah lain yang turut berkongsi kawasan Pusat Lindungan Hidupan Liar ini. Kawasan ini seluas 187,000 hektar yang turut dikongsi sempadannya dengan Daerah Song, Daerah Kanowit dan Daerah Sri Aman. Bentuk muka bumi di taman hidupan liar ini adalah berceranggah dan berbukit-bukau yang curam yang kebiasaannya mencapai ketinggian lebih daripada 300m. Cerun curam dengan lembah berbentuk V mendominasikan kawasan itu. Ia mempunyai tiga kemuncak tinggi iaitu Bukit Lanjak (1,284m), Bukit Entimau (975m) dan Gunong Spali (966m). Ia juga merupakan kawasan tadahan air yang penting terhadap Sungai Ensirieng, Mujol, Poi, Ngemah, Katibas, Bloh, Apoh dan Kanowit yang mengalir melalui kawasan ini.
JAMBATAN GANTUNG
Jambatan gantung sepanjang 100 meter yang telah terbina dengan megahnya merentasi Sungai Kanowit merupakan salah satu jalan perhubungan utama bagi penduduk Kampung Seberang Cina, Sungai Manok dan Pekan Julau. Terdapat 40 rumah di Kampung Seberang Cina yang mempunyai kapasiti penduduk kira-kira 400 orang amat memerlukan kemudahan seperti jambatan gantung tersebut. Jambatan gantung tersebut telah mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2012. Pembinaan jambatan gantung tersebut merupakan hadiah yang paling bermakna bagi penduduk di kawasan Kampung Seberang Cina sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2012 kerana telah 30 tahun menanti kewujudan kemudahan tersebut. Terdahulunya, penduduk di kawasan tersebut hanya menggunakan perahu untuk pergi ke pekan dan mengambil masa yang lama untuk sampai. Setelah adanya jambatan gantung, penduduk dapat pergi ke pekan dengan masa yang singkat. Jambatan gantung telah memudahkan pergerakan mereka untuk ke pekan menjual hasil tanaman, membeli keperluan asas, menghantar anak ke sekolah dan juga pergi ke klinik. Di samping itu, jambatan gantung ini juga telah menarik minat masyarakat di Daerah Julau dan juga dari daerah lain untuk pergi ke jambatan tersebut untuk melihat dan menikmati permandangan yang aman dan damai di sekitar jambatan gantung lebih-lebih lagi ketika di waktu senja.