Daerah Julau mempunyai keindahan alam semula jadi:
Terdapat kawasan Perlancongan dan rekreasi yang menarik di daerah Julau.
Tapak Bersejarah Kubu Brooke
Tapak bersejarah Kubu Brooke yang dibina di Nanga Meluan juga merupakan satu lagi tarikan pelancongan di daerah ini. Dahulunya, Kubu Brooke telah menempatkan pegawai-pegawai pentadbiran Brooke untuk menjaga ketenteraman dan keamanan kawasan tersebut terutamanya menentang pergerakan anti-Brooke yang radikal, diketuai oleh seorang pahlawan bernama Asun. Kubu ini pernah digunakan sebagai Pejabat Daerah Kecil dan Balai Polis.
Lanjak Entimau Wildlife Sanctuary
Lanjak Entimau Wildlife Santuary juga merupakan pilihan tepat kepada mereka yang sukakan habitat liar dan keindahan flora dan fauna. Terdapat tiga buah daerah lain yang turut berkongsi kawasan Pusat Lindungan Hidupan Liar ini. Kawasan ini seluas 187,000 hektar yang turut dikongsi sempadannya dengan Daerah Song, Daerah Kanowit dan Daerah Sri Aman. Bentuk muka bumi di taman hidupan liar ini adalah berceranggah dan berbukit-bukau yang curam yang kebiasaannya mencapai ketinggian lebih daripada 300m. Cerun curam dengan lembah berbentuk V mendominasikan kawasan itu. Ia mempunyai tiga kemuncak tinggi iaitu Bukit Lanjak (1,284m), Bukit Entimau (975m) dan Gunong Spali (966m). Ia juga merupakan kawasan tadahan air yang penting terhadap Sungai Ensirieng, Mujol, Poi, Ngemah, Katibas, Bloh, Apoh dan Kanowit yang mengalir melalui kawasan ini.