Kain Buriek (Burie): merupakan salah satu pakaian tradisional kaum wanita Iban yang berasal dari Batang Rajang. Corak ataupun motif yang terdapat pada kain tersebut dilakar mengikut motif flora dan fauna. Kulit siput akan dilekat dan dijahit pada corak atau motif yang telah dilakar tadi. Keunikan corak pada Kain Buriek tersebut telah mula menarik minat banyak penggemar pakaian tradisi. Kini, Kain Buriek bukan sahaja digunakan oleh golongan wanita, malah golongan lelaki juga boleh memakai Baju Burie yang seakan seperti Baju Burung kaum lelaki Iban. Golongan wanita pula boleh menggayakan Kain Buriek mereka dengan turut menggunakan Selampai Buriek sebagai salah satu fesyen. Kain Buriek kini makin mendapat sambutan di dalam mahupun di luar negara dan sering menjadi buah mulut penggemar fesyen.

Di Pekan Julau sendiri, Puan Catherine Guyang yang merupakan usahawan Kain Buriek berasal dari Rumah Sayu, Jalan Entabai Julau, 96600 Julau juga mempunyai beberapa koleksi Kain Buriek, Baju dan Selampai Buriek di mana corak ataupun motif diinspirasikan oleh beliau sendiri kini menjadi tumpuan pelawat yang datang ke Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Pekan Julau.

Terabai [ Perisai ] adalah lambang kepahlawanan kaum Iban di Sarawak dahulu kala. Terabai dahulu kala mempunyai banyak motif yang tersendiri. Di Julau terdapat pembuat terabai dengan  seni ukiran kayunya yang sangat menarik.